Pada suatu pagi, Rasulullah s.a.w. naik ke bukit Safa lalu
menyeru orang Quraisy untuk berkumpul. Setelah semua hadir, Rasulullah s.a.w.
lalu berkata, “Sekiranya ketika ini saya mengatakan kepada kamu bahawa pada
pagi ini atau petang ini akan ada pasukan musuh menyerang kamu, adakah kamu
akan percaya?” Dengan serentak orang itu menjawab, “Ya.”
Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sekarang
dengarkanlah. Sesungguhnya saya memperingatkan kamu akan datangnya azab yang
pedih (di akhirat kelak).” Mendengar ucapan tersebut, Abu Lahab terus berkata, “Celaka
engkau Wahai Muhammad, apakah hanya untuk mengatakan hal ini engkau
mengumpulkan kami?”
“Binasalah
kedua-dua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia! Tidaklah berguna baginya
hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang
bergelojak (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar
fitnah). Di lehernya ada tali
daripada sabut yang dipintal.” (Surah al Masad 1-5)
Beberapa saat
setelah turunnya surah tersebut, Ummu Jamil bergegas pergi ke Masjidilharam
untuk mencari Rasulullah s.a.w.. Sementara itu, di tangannya tergenggam
beberapa butir batu yang akan digunakannya untuk melempar Rasulullah s.a.w.
Akan tetapi, ketika telah hampir, Allah S.W.T. membuat matanya tidak dapat
melihat Rasulullah s.a.w. Akibatnya, dia hanya melihat Abu Bakar yang duduk di
samping Baginda. Ummu Jamil lantas bertanya kepada Abu Bakar, “Mana temanmu itu?!”
Abu bakar yang
memahami bahawa Allah S.W.T. telah menjaga Rasulullah s.a.w. daripada gangguan
perempuan itu lantas bertanya dengan tenang, “Apa yang engkau inginka
daripadanya?”
Ummu Jamil
menjawab, “Saya mendengar bahawa dia telah mencaci maki saya. Demi Allah,
sekiranya saya melihatnya nescaya saya akan leempar dia dengan batu-batu ini.”
Mendengar ucapan
itu, Abu Bakar hanya menjawab, “Sesungguhnya dia bukanlah seorang penyair.”
Ummu Jamil lalu
kembali ke rumahnya dalam keadaan marah. Sesampainya di rumah, dia mendapati
suaminya, Abu Lahab sedang duduk dengan perasaan sedih bercampur marah kerana
cemuhan orang-orang terhadapnya. Melihat hal itu, Ummu Jamil terus keluar
kembali setelah terlebih dahulu menyatakan kepada Abu Lahab bahawa dia pasti
akan menjadikan Muhammad menyesal terhadap apa yang telahdiucapkannya. Sejak
saat itu, dia senantiasa mencaci maki Rasulullah s.a.w., mengumpulkan duri-duri
dan najis-najis haiwan untuk ditebarkan di jalan-jalan yang sering beliau
lalui. Akan tetapi, Allah S.W.T. sentiasa menjaga Rasul-Nya daripada gangguan
perempuan itu. Sampai akhir hayatnya, kedengkian dan kebencian Ummu Jamil
terhadap Rasulullah s.a.w. tidak pernah padam.
~Lihatlah bagaimana Allah S.W.T.
mejaga manusia yang disayangiNya…dan melaknat manusia yang membenci kekasihNya…sehingga
sudah tertulis nama mereka sebagai penghuni neraka…Nauzubillah..~
“Wanita yang diceritakan dalam Al-Quran “
By: Ustaz Yusri Abd. Karim