Monday 7 January 2013

ALLAH S.W.T. MENJAGA RASULULLAH S.A.W. DARIPADA GANGGUAN UMMU JAMIL



Pada suatu pagi, Rasulullah s.a.w. naik ke bukit Safa lalu menyeru orang Quraisy untuk berkumpul. Setelah semua hadir, Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sekiranya ketika ini saya mengatakan kepada kamu bahawa pada pagi ini atau petang ini akan ada pasukan musuh menyerang kamu, adakah kamu akan percaya?” Dengan serentak orang itu menjawab, “Ya.”

Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sekarang dengarkanlah. Sesungguhnya saya memperingatkan kamu akan datangnya azab yang pedih (di akhirat kelak).” Mendengar ucapan tersebut, Abu Lahab terus berkata, “Celaka engkau Wahai Muhammad, apakah hanya untuk mengatakan hal ini engkau mengumpulkan kami?”


“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.”  (Surah al  Masad 1-5)

Beberapa saat setelah turunnya surah tersebut, Ummu Jamil bergegas pergi ke Masjidilharam untuk mencari Rasulullah s.a.w.. Sementara itu, di tangannya tergenggam beberapa butir batu yang akan digunakannya untuk melempar Rasulullah s.a.w. Akan tetapi, ketika telah hampir, Allah S.W.T. membuat matanya tidak dapat melihat Rasulullah s.a.w. Akibatnya, dia hanya melihat Abu Bakar yang duduk di samping Baginda. Ummu Jamil lantas bertanya kepada Abu Bakar, “Mana temanmu itu?!”
Abu bakar yang memahami bahawa Allah S.W.T. telah menjaga Rasulullah s.a.w. daripada gangguan perempuan itu lantas bertanya dengan tenang, “Apa yang engkau inginka daripadanya?”
Ummu Jamil menjawab, “Saya mendengar bahawa dia telah mencaci maki saya. Demi Allah, sekiranya saya melihatnya nescaya saya akan leempar dia dengan batu-batu ini.”

Mendengar ucapan itu, Abu Bakar hanya menjawab, “Sesungguhnya dia bukanlah seorang penyair.”

Ummu Jamil lalu kembali ke rumahnya dalam keadaan marah. Sesampainya di rumah, dia mendapati suaminya, Abu Lahab sedang duduk dengan perasaan sedih bercampur marah kerana cemuhan orang-orang terhadapnya. Melihat hal itu, Ummu Jamil terus keluar kembali setelah terlebih dahulu menyatakan kepada Abu Lahab bahawa dia pasti akan menjadikan Muhammad menyesal terhadap apa yang telahdiucapkannya. Sejak saat itu, dia senantiasa mencaci maki Rasulullah s.a.w., mengumpulkan duri-duri dan najis-najis haiwan untuk ditebarkan di jalan-jalan yang sering beliau lalui. Akan tetapi, Allah S.W.T. sentiasa menjaga Rasul-Nya daripada gangguan perempuan itu. Sampai akhir hayatnya, kedengkian dan kebencian Ummu Jamil terhadap Rasulullah s.a.w. tidak pernah padam.

~Lihatlah bagaimana Allah S.W.T. mejaga manusia yang disayangiNya…dan melaknat manusia yang membenci kekasihNya…sehingga sudah tertulis nama mereka sebagai penghuni neraka…Nauzubillah..~
“Wanita yang diceritakan dalam Al-Quran “
By:  Ustaz Yusri Abd. Karim

No comments: