Mendengar sahaja
kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanyaa lantas menangis dan
berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana halnya dan
bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu masuk ke dalam syurga
daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah di mana dia sekarang”.
Lalu Rasulullah S.A.W
bersabda, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud,
kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah pun keluar
pergi mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya.
Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil
memberi salam.
Perempuan yang
Rasulullah maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Siti Fatimah
datang ke sana tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah berkata,
“Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan awak”.
Perempuan itu menjawab, “Terima kasih cik, tetapi saya tidak dapat membenarkan
cik masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin apabila
dia balik nanti. Silalah datang pada esok hari”.
Dengan perasaan sedih
dan dukacita Siti Fatimah pulang kerana tak dapat masuk dan bercakap panjang
dengan perempuan itu. Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu dengan
membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila tiba di pintu rumah perempuan
tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan itu melihat ada
budak bersama-sama Siti Fatimah, lalu dia berkata, “Ini siapa?”. Anakanda
Rasulullah menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya
dukacita kerana saya belum meminta izin untuk anak ini masuk dari suami saya”.
Siti Fatimah jadi
serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya. Esoknya Siti Fatimah datang
lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini dia membawa kedua-dua anaknya iaitu
Hasan dan Husin. Perempuan ahli syurga itu terkejut melihat ada seorang budak
lagi yang belum diminta izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti
Fatimah tersipu malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.
Dalam perjalanan
pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut kepada suaminya,
sehingga perkara yang begini pun dia tak berani melakukannya. Pada hal jika dia
membenarkan aku masuk, takkan suaminya marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa
dan dua budak ni cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah”
bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.
Sebaik sahaja suami
kepada perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu perihal budak yang
seorang lagi yang dibawa oleh Siti Fatimah. Suaminya yang terkejut dan hairan
pun berkata, “Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu
puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu baginda. Lebih daripada
itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung
pada keredhaan Rasulullah. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa
sesiapa pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatlah mereka semua”.
Isterinya menyahut,
“Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa
keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu
saya tak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati
awak”. “Terima Kasih” sahut suaminya.
Pada hari seterusnya,
Siti Fatimah datang lagi dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima
masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan.
Dalam pada itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil
memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang
dengan tak berapa memperdulikan Siti Fatimah. Sambil itu Siti Fatimah melihat
di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air
manakala tangan yang sebelah lagi menangkat hujung kain sehingga menampakkan
betis dan pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis.
Melihat keadaan
sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Siti Fatimah
bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu menyahut, “Cik, harap maafkan
saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”. “Buat apa dengan
bekas air itu?” tanya Siti Fatimah. Jawab perempuan itu, “Kiranya suami saya
dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya
supaya tak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah”.
Kemudian Siti Fatimah
bertanya lagi, “Buat apa pula tongkat itu?” Perempuan itu menjawab, “Jika suami
saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”. Siti Fatimah
bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain awak sehingga menampakkan aurat,
bukankah itu haram?” Maka perempuan itu berkata, “Jika dia berkehendakkan saya,
lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang
memudahkan kepada maksudnya”.
Selesai sahaja
perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Siti Fatimah termenung dan hairan
lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya,
tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah dia masuk ke syurga dahulu daripada
aku serta wanita-wanita lain. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang
perempuan yang bersuami itu bergantung pada ketaatan dan keredhaan suami
terhadapnya”.
Sambil teresak-esak
menangis dan menitis air matanya, Siti Fatimah meminta izin untuk pulang dan
dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah S.A.W lalu berkata, “Anakanda berasa
sangat sedih dan lemah segala sendi kerana tak dapat meniru dan melakukan
sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.
Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W mendengar
rintihan puterinya lalu baginda bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah
susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan
memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke
syurga. Jadi dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan
itu, barulah Siti Fatimah tersenyum ketawa.
by Solleh
Jamaludin on Tuesday, September 13,
2011 at 4:02pm ·
2 comments:
alhamdulillah terima kasih atas perkongsian kerana ini kali pertama sy dengar cerita ini...subhanallah alhamdulillah Allahuakbar!
arissa~Insyaallah..semoga dapat manfaat dan iktibarnya daripada cerita ini..:)
Post a Comment